Ketika aku masih kecil, waktu itu ibuku sedang menyulam sehelai kain. Aku yang sedang bermain di atas lantai melihat ke atas dan bertanya apa yang sedang ibu lakukan. Dia memberitahu bahawa dia sedang menyulam sesuatu di atas sehelai kain. Tetapi aku katakan kepada ibu bahawa apa yang aku lihat dari bawah adalah benang-benang yang berserabut.
Ibu hanya tersenyum memandang aku dan berkata dengan lembut:
"Anakku, teruskanlah permainanmu dulu sementara ibu menyelesaikan sulaman ini. Setelah selesai nanti, ibu akan panggil kamu dan ibu dudukkan di atas pangkuan ibu dan kamu akan dapat melihat sulaman ini dari atas."
Aku hairan mengapa ibu menggunakan benang hitam, putih dan bermacam warna lainnya, begitu berserabut pada pandanganku. Beberapa saat kemudian, aku terdengar suara ibu memanggil:
"Anakku, mari ke sini dan duduklah di pangkuan ibu."
Waktu itu aku hairan dan kagum melihat corak bunga-bunga yang indah yang berlatar belakangkan pemandangan matahari yang sedang terbit, kelihatan sungguh indah sekali. Aku hampir tidak percaya melihatnya kerana apa yang aku lihat dari bawah tadi hanyalah benang-benang yang berserabut.
Kemudian ibu berkata:
"Anakku, dari bawah memang nampak berserabut dan tidak ketentuan tapi kamu tidak menyedari bahawa di atas kain ini sudah ada gambar yang direncanakan, suatu pola bercorak, ibu hanya mengikutinya. Sekarang, dengan melihatnya dari atas kamu dapat melihat keindahan apa yang ibu lakukan sebenarnya."
Seringkali selama bertahun-tahun, aku melihat ke atas dan bertanya kepada Tuhan:
"Tuhan, apa yang Engkau lakukan?"
Dia menjawab:
"Aku sedang menyulam kehidupanmu."
Lalu aku sering membantah:
"Tetapi nampaknya kehidupan ini berserabut, benang-benangnya banyak yang hitam, kenapa tidak semuanya memakai warna yang cerah?"
Kemudian Tuhan menjawab:
"AnakKu, kamu teruskan pekerjaanmu dan Aku juga menyelesaikan pekerjaan-Ku di bumi ini. Satu saat nanti Aku akan memanggilmu ke sorga untuk mendudukkan kamu di pangkuan-Ku dan kamu akan melihat rencana yang indah dari sisi-Ku."
Kita seringkali melihat rangkaian peristiwa dalam kehidupan kita seperti benang sulaman yang tidak teratur, berserabut dan kusut. Serangkaian persoalan pelbagai yang datang bertubi-tubi; kesedihan, kemalangan, bencana, kesusahan dan pertentangan. Seringkali kita melihat kehidupan kita begitu rumit dan tidak ketentuan. Tetapi semua itu kerana kita melihat "bahagian bawah suatu sulaman".
Betapapun rumit dan sulitnya keadaan hidup kita selama ini, yakinlah bahawa itu semua akan membentuk "gambar indah" bagi diri dan kehidupan kita, jika kita dapat melihat dari "bahagian atas sulaman".
Tuhan merencanakan dan "menyulam" sesuatu yang indah dan terbaik kerana Tuhan itu baik. Oleh kerana itu, jalanilah kehidupan kita dengan penuh keyakinan atas karya dan kebaikan Tuhan.
Apa yang kau alami kini mungkin tak dapat engkau mengerti
Satu hal tanamkan di hati, indah semua yang Tuhan beri..
Tuhan tak akan memberi ular beracun pada yang meminta roti
Cobaan yang engkau alami tak akan melebihi kekuatanmu
Tangan Tuhan sedang merenda suatu karya yang agung mulia
Saatnya kan tiba nanti, kau lihat pelangi kasih-NYA ,
Rahayu ~ Kp Karyonagoro
No comments:
Post a Comment